Sunday 6 January 2013

DARI PENAKU

Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah. Hari ini dah 7 hari kita berada dalam tahun baru 2013. Semoga tahun ini memberikan rahmat dan keredhaan yang berlipat kali ganda dari Allah untuk kita. Aku tak berhajat nak berceloteh panjang lebar. Cukup sekadar aku merafakkan rasa insaf dalam diri bahawa ALLAH mentakdirkan aku masih bernafas dan hidup dalam tahun ini untuk menambahkan keimanan dan ketaqwaan padaNya.
Pelbagai jerih perih, susah payah aku lalui sepanjang 2012 yang telah melabukan tirainya baru-baru ini. Segala dugaan dan cabaran yang mendatang aku tempuhi dengan penuh redha walaupun kadang-kadang menggoyahkan jiwa dan ada kalanya meluluh lantakkan hati yang berkecamuk dengan pelbagai permasalahan dunia yang tak pernah luput singgah dalam pemikiran diriku ini. Allah Maha Pemurah. Allah Maha Penyayang. Dengan segala keperitan yang ku lalui ini,ku dipertemukan dengan seseorang yang mengubah pandangan aku mengenai kehidupan. Alhamdulillah, kini aku bahagia bersamanya. Syukur 2013, mungkin ini manifestasi rasa dan tawadduk diriku padaMu Ya Ilahi. Dalam keriuhan aku dibelenggu pelbagai kesusahan, dia hadir menghulurkan tangan menarik ku keluar dari kemelut itu.
Tiga malam aku bersujud menghadapMu adakah ini jodohKu, maka Kau berikan ilham itu Ya ALLAH. Tiga malam tanpa henti aku sujud kepadaMU, Tiga malam tanpa henti aku menadah tangan mencari petunjukMu, Engkau hadirkan dalam setiap solatku ilham akan dirinya. Kelibat dirinya, senyumannya, tawanya dan kemanjaannya. Adakah benar dia untukku Ya ALLAH? Ya, dialah untukku Ya Allah. Di saat aku hampir lemas mencari sesuatu yang ku amat perlukan, dia datang membawa seribu pengharapan dan yang akhirnya aku membuka kunci yang telah lama aku buang. Ya,dengan kehadiran, ianya membawa rahmat dan sinar dalam hidupku. Kalau dulu, keluarga agak berantakan, dengan kehadiranya kasih sayang kami terjalin dengan ibuku jua menerimanya sebagai anak ( menantu ). Begitu juga ayahku yang begitu mengambil berat perihal dirinya lebih dariku. Alhamdulillah, kini dia menjadi seorang yang amat disayangi keluargaku.
Tabir 2013 ini, aku singkapkan dengan penuh pengharapan, agar segalanya dapat ku harungi dengan istiqamah dan penuh kesabaran. Walaupun kadang-kadang aku tewas, namun jauh di sudut hatiku ini, inginku menjerit memberitahu dunia bahawa aku amat bersabar. Hatiku sedih, hatiku amat sedih. Mungkin kerana ini kali pertama aku berhijrah jauh dari keluargaku. Selama hayatku ini, aku hanya tinggal di kampung, menjaga ayah dan ibu. Aku juga tidak menyambung pelajaran keluar dari negeriku kerana aku mahu menjaga ayah dan ibuku. Ya aku tidak pernah meninggalkan mereka seumur hidupku. Kalau dulu masa bersekolah, aku langsung tidak dibenarkan untuk mengikuti sebarang rombongan ke mana-mana sahaja destinasi, dengan alas an “Kalau jadi apa-apa pada adik, sapa nak jaga mak ayah ?” aku akur. Aku tidak ke mana-mana. Kakiku pasak kan di kampungku dan aku bertekad tidak akan melanjutkan pengajian keluar walaupun aku ada menerima tawaran belajar di luar dari tempat tinggalku. Aku pernah ditawarkan ke UITM Shah Alam, aku menolak, jauh dari mak dan ayah. Aku pernah dapat panggilan kedua ke UITM Segamat Johor, aku juga menolak kerana terlalu jauh. Begitu juga tawaran lain yang pernah aku terima di Melaka. Aku tolak, tolak dan tolak. Sebab dalam diriku aku tidak mahu berjauhan dengan mereka kerana aku adalah satu-satunya anak mereka.

Pernah di zaman remaja persekolahan sekolah menengah, patutnya itulah zaman yang ku lalui dengan penuh kegembiraan dan boleh ke sana sini. Tetapi tidak bagi aku. Aku tidak dibenarkan ke mana-mana melainkan kalau berkaitan aktiviti sukan peringkat negeri dan kebangsaan. Apa tidaknya, hidupku banyak dihabiskan dalam ruang lingkup yang amat kecil. Aku ditatang bagai minyak yang penuh. Aku tidak pernah menyesal dengan tindakan mereka menyekatku. Malah aku tidak pernah memberontak sebagai anak. Aku suka dan dengan cara mereka ini lah aku menjadi manusia sekarang. Ya, aku akui banyak yang aku ketinggalan, kadang-kadang aku rasa terlalu kecil hati. Orang semua tahu, tempat itu, tempat ini, aku sekadar melopong kosong, seolah-olah orang bodoh yang tidak tahu apa-apa. Kadang-kadang aku rasa kecil hati dengan dia. Aku tidak dapat nafikan, ada kalanya aku rasa malu dengan dia. Aku sedih, sebagai orang penting dalam hidupnya, aku seolah-olah tidak tahu apa-apa. Mengikut, menurut sahaja, sedangkan memang hakikat aku tak tahu. Aku malu dengan diri sendiri.
“Adik, kalau bercinta, sayangi dan cintai perempuan itu sepenuh hati dan jiwa adik. Perempuan untuk disayangi, dicintai, dimanjai,dibelai dan diasuh dengan baik baik, bukan untuk disepak terajang dan tempat untuk tunjukkan keegoan seorang lelaki. Ingat, kalau sekali adik naik tangan pada perempuan, sakiti hatinya, samalah seperti adik menyakiti hati mak ni.. Ingat pesan mak ni adik. Allah ciptakan, Allah kurniakan perasaan kasih dan sayang itu untuk dikongsi, mencintai,menyayangi dan mengasihi makhluk yang bernama wanita dari kaum Hawa ini, samalah seperti mencintai pencipta Makhluk itu yakni ALLAH S.W.T.”. Inilah pesanan keramat dari ibuku yang ku jadikan bekal dan tangkal azimat yang harus ku pegang dan pelihara amanah ini.
Kepada ZFBZA, nukilan ini khas untuk dirimu. Hubungilah daku jika dirimu selesai membaca nukilan ini.

Tinta Pena,

Zamani
10.15 am
 7.01.2013

No comments:

Post a Comment